Kelly 3572

Friday, August 22, 2014

Jumaat Yang Penuh Dengan Emosi...

Assalamualaikum

Berkemeja hitam ke tempat kerja hari ni. Wifey pulak berjubah hitam. Walaupun kami tak dapat bersama menyambut 'kepulangan' mereka di KLIA, tapi ingatan dan doa kami sentiasa untuk mereka. 

Kalau kami pun bersedih, apatah lagi ahli keluarga mereka...

Langkah kaki ke tempat kerja tak seperi hari-hari biasa. Setiap satu langkah aku diselubungi rasa sayu dan sebak. Di dalam gerabak LRT, agak ramai yang menunjuk rasa sedih dan simpati dengan berpakaian hitam seperti yang disarankan oleh kerajaan. 

Pesawat MAS-Kargo Boeing 747 selamat mendarat di KLIA hampir pukul 1000 pagi bersama 20 penumpang istimewa yang pertama. 23 orang lagi masih di Amsterdam. Semoga mereka semua berjaya dibawa pulang secepat mungkin.

Di tempat kerja pulak, tak ramai sangat yang berbaju hitam, tapi tak semestinya mereka tak bersedih atau bersimpati. Siaran TV yang selalu menjadikan saluran Bloomberg sebagai tontonan utama kali ni menyiarkan siaran langsung dari KLIA, dari saat mendaratnya pesawat MAS-Kargo hinggalah ke saat kenderaan-kenderaan yang membawa jenazah bergerak ke destinasi yang telah ditetapkan.

Tak dapat dinafikan kat tempat kerja aku, ada juga yang mengikuti istiadat istimewa itu dengan penuh khusyuk; dan nampak riak muka mereka yang sedih. Aku sempat berjumpa rakan sepejabatku yang kebetulan juga merupakan sepupu arwah Ahmad Hakimi, pembantu juruterbang, sebelum dia bertolak ke upacara pengkebumian di Presint 20 , Putrajaya. Menurut beliau, arwah Ahmad Hakimi akan dikebumikan selepas solat Jumaat. 

Lebih kurang jam 1050 pagi, pihak building management buat pengumuman bagi meminta semua tenant bersedia untuk bertafakur selama seminit pada jam 1054 pagi. Aku agak terkejut sebab tak jangka pulak building management akan buat pengumuman minta semua bertafakur ni. Terharu...

Seminit yang sunyi sepi tu cukup buat aku rasa sedih gila...macam-macam aku terbayang masa tu. Sambil-sambil menyedekahkan Al-Fatihah yang entah keberapa kali buat semua mangsa yang beragama Islam. Memang lain macam la keadaan pejabat masa tu. Sayu. Sebak. Macam nak banjir dah dalam hati aku. Semua orang berhenti buat kerja...Mungkin suasana lebih menyayat hati kalau kat Kompleks Bunga Raya KLIA tuh. Dari siaran TV memang nampak ramai giler cabin crew dan pilot MAS yang tak bertugas masa tu datang join the special event. Ramai yang bawak bunga...ramai yang tak dapat menahan kesedihan mengenangkan tragedi yang menimpa rakan-rakan setugas mereka.

Khutbah Jumaat hari ni pun berkait dengan tragedi MH17. Satu dugaan yang amat besar untuk negara dan juga kaum keluarga penumpang dan anak kapal. Paling aku nantikan ialah upacara solat jenazah ghaib yang dibuat selepas selesai solat Jumaat. Air mata bergenang ketika doa selepas solat jenazah.

Ya Allah yang maha pengasih dan maha penyayang, Kau ampunilah dosa-dosa mereka yang telah kembali ke pangkuanMu di dalam tragedi ini. Kau tabahkanlah hati-hati keluarga mereka yang telah ditinggalkan. Sesungguhnya kami reda dengan ketentuanMu ini. Amin, amin, amin ya rabbal alamin!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...